21 May
Contoh Karangan Fakta : Faktor dan Langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-kanak

          Menurut Kamus Dewan, penderaan bermaksud perbuatan menyeksa seseorang secara fizikal dan mental dengan cara menyakiti hati atau memukul. Lazimnya, kes penderaan dikelaskan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah, penderaan fizikal,emosi,seksual,pengabaian dan mempergunakan kanak-kanak sebagai buruh paksa.Kes penderaan kanak-kanak adalah salah dari segi sisi  undang-undang. Saban hari,  isu penderaan kanak-kanak bukanlah menjadi suatu isu yang baharu di Malaysia bahkah telah menjadi isu yang membelenggu masyarakat di negara kita. Sebagai contoh, jika dilihat pada paparan media massa seperti televisyen, akhbar dan juga media sosial hampir setiap hari kita dikhabarkan dengan isu penderaan kanak-kanak ini dan mendapati bahawa bilangan kes penderaan ini terus meningkat tanpa titik noktahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa , kes penderaan kanak-kanak ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Oleh itu, langkah yang efektif harus dilaksanakan bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa.

          Tekanan di tempat kerja merupakan salah satu faktor pemangkin berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana bagi ibu bapa yang bekerja, mereka pastinya menghadapi tekanan di tempat kerja. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka akan menjadikan anak-anak sebagai medium melepaskan geram dan tekanan yang mereka hadapi. Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berfikir panjang berisiko tinggi melakukan kes penderaan ke atas anak-anak seperti menerajang, menampar dan juga memukul dengan menggunakan peralatan yang boleh mencederakan. Tegasnya, masalah yang dihadapi oleh ibu bapa ditempat kerja akan menimbulkan kemarahan dan sekaligus anak-anak menjadi mangsa untuk mereka melepaskan kemarahan tersebut dan mengundang kepada kes penderaan.

          Selain itu, pengaruh media massa juga turut mendorong berlakunya kes penderaan kanak-kanak ini. Dalam hal ini, media massa yang yang dipaparkan berunsurkan aksi ganas kerap kali dapat kita saksikan di kaca televisyen seperti rancangan ‘WWE’ dan filem-filem yang berunsurkan pergaduhan seperti ‘Crows Zero’. Aksi-aksi yang di paparkan ini akan memanipulasikan pemikiran dan mengubah seseorang individu menjadi ganas. Secara tidak langsung , ibu atau bapa yang berasa sukar untuk mendidik anak-anak akan menggunakan kekerasan untuk mendidik anak-anak. Setiap aksi ganas yang telah mereka saksikan akan digunakan untuk mendidik anak-anak tanpa memikirkan kesan negative perbuatan tersebut. Oleh itu, tanpa mereka ketahui, perbuatan tersebut merupakan penderaan bagi kanak-kanak.

          Seterusnya,  faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita. 

          Manakala, antara langkah yang harus dilaksanakan bagi membentung masalah penderaan kanak-kanak ini ialah ibu bapa atau pengasuh perlu menghadiri kelas bimbingan dan kaunseling. Dalam hal ini, pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka akan lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi. 

          Di samping itu, peranan masyarakat amat signifikan dalam usaha membendung masalah penderaan kanak-kanak daripada terus menular. Masyarakat haruslah membuang sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan usahlah mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, masyarakat patutlah sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka. Jika mendapati bahawa terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, kita haruslah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat mungkin. Tambahan pula, pengawalan keselamatan di kawasan kediaman penduduk seharusnya diperketat untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang berani mendera kanak-kanak sesuka hati. Jelaslah bahawa semangat kejiranan yang tinggi dapat membantu membanteras kes penderaan kanak-kanak kerana terdapat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.  

          Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama dan sisi undang. Oleh itu, semua pihak perlulah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk membanteras gejala ini dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi. Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing, pastilah kes penderaan kanak-kanak akan ditangani kerana bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Maka, masyarakat kita tidak lagi dibelenggu oleh isu ini dan dapat hidup dengan sejahtera.

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING