1 | memahami kriteria dan pemarkahan karangan cemerlang untuk karangan berpandu dan umum. |
2 | memahami cara memulakan karangan ( Perenggan Pengenalan) |
3 | memahami kaedah untuk mengembang isi. ( Perenggan Isi) |
4 | memahami kaedah menulis penutup ( Perenggan Penutup) |
5 | tahu cara mengesan kata kunci untuk menentukan kehendak dan keperluan isi yang perlu ditulis. |
6 | menguasai kemahiran tatabahasa, dan membina ayat yang kreatif. |
7 | mengetahui format karangan yang hendak ditulis berdasarkan kehendak soalan. |
8 | menguasai kemahiran menggunakan penanda wacana, dan tanda baca. |
9 | kaya kosa kata atau perbendaharan kata. |
10 | mempunyai pengetahuan luas. |
11 | mempunyai strategi dalam menentukan fokus karangan yang hendak ditulis. |
12 | mempunyai pengetahuan frasa manarik yang luas seperti peribahasa, kata-kata hikmah, kata-kata pemimpin, ayat Al Quran, Hadis, dan sebagainya. |
13 | Kerap membuat latihan merupakan syarat terakhir. |
KAEDAH PENULISAN ISI
Selepas menghasilkan perenggan pendahuluan, langkah kedua ialah pelajar-pelajar perlu menulis perenggan isi. Kebiasaanya, isi yang pertama terletak pada perenggan yang kedua, isi yang kedua terletak pada perenggan ketiga, dan seterusnya. Dari segi penulisan isi, pelajar-pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuat hujah atau huraian. Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandung empat ayat hingga enam ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini:
Ayat Judul
Ayat judul ialah ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan. Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah, atau di hujung sesuatu perenggan.
Ayat Huraian
Ayat huraian pula huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukan yang bertujuan untuk
memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. Karangan yang baik akan mengemukakan beberapa ayat huraian.
Ayat Bukti/Ayat Contoh
Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandung bukti atau contoh yang
berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah.Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.
Ayat Penegas
Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti “ Tegasnya”, “Oleh itu”, dan
“Sehubungan dengan itu”.
KAEDAH PENULISAN BAHASA
Gaya bahasa merupakan ungkapan kata-kata yang melibatkan pengolahan idea (Ismail Ahmad, 1992; 2002) dan tidak hanya dibatasi oleh tatabahasa. Dalam keadaan tertentu, bentuk dan jenis penulisan mempengaruhi gaya yang perlu digunakan dalam penulisan tersebut. Bagi menghasilkan penulisan karangan jenis naratif yang baik, pelajar bukan sahaja dituntut untuk mengolah sesuatu cerita dalam bentuk penulisan, malah mampu menerbitkan ayat-ayat serta ungkapan yang menggunakan perkataan dalam gaya bahasa yang indah dan menarik. Di samping itu, aspek susunan urutan cerita dan kerelevanan peristiwa juga akan menjamin kejelasan cerita dalam karangan jenis naratif dalam pembentukan sebuah wacana. Penulisan karangan memerlukan kreativiti bagi menghasilkan nilai estetika serta menggunakan gaya bahasa yang tersendiri.
Di samping itu, sesuatu karangan yang berkesan selain mengutamakan bahasa pengucapan yang betul, ianya juga mengutamakan perkara-perkara lain termasuk struktur yang berkesan. Pengarang yang baik mampu berfikir tentang idea-idea yang ingin dituliskan, menyusun idea-idea itu dan menyampaikannya kepada pembaca dengan butiran-butiran yang minimum. Oleh itu, jelaslah betapa pentingnya bagi penulis untuk memiliki kecekapan komunikasi dari segi kebolehan menguasai idea yang bernas, kebolehan memilih bentuk-bentuk pengucapan yang sesuai, kebolehan memilih kaedah-kaedah menyusun pengucapan dan kebolehan mempersembahkan pengucapan tersebut. Pilihan-pilihan yang tepat perlu dibuat daripada pelbagai alternatif supaya pembaca dapat memperoleh manfaat daripada penulisan atau karangan yang dihasilkan.
3. KAEDAH PENGOLAHAN
Dalam teknik pengolahan isi, Aspek pertama yang perlu dimasukkan ialah penyataan atau ayat tesis merupakan hujah utama berkaitan topik penulisan anda. Kebiasaannya, ia diletakkan pada perenggan pengenalan. Pelajar dikehendaki merujuk nota yang mengandungi idea pelajar tersebut untuk mendapatkan tema utama yang ingin diketengahkan. Huraikan tema tersebut dalam bentuk ayat kompleks dan masukkan keterangan dan justifikasi pendirian utama anda.
Aspek kedua ialah membina struktur karangan dengan teliti.Susun karangan anda berdasarkan matlamat dan bentuk penulisan esei anda. Sekiranya anda ingin menulis karangan berbentuk naratif, anda harus menyusun bahan penulisan anda mengikut turutan kronologi dan wujudkan kesinambungan antara isi karangan. Setiap karangan memiliki bahagian permulaan, isi dan penutup. Tetapi, tidak semua karangan memerlukan pengenalan atau kesimpulan secara formal.
Manakala aspek yang berikutnya ialah menggunakan gaya bahasa yang mudah diingati. Dalam hal ini, pemilihan kosa kata dan bahasa perlu jelas dan menarik. Sekiranya anda menulis mengenai kereta, pembaca tidak akan mengetahui rupa fizikal kereta tersebut sekiranya anda tidak menceritakan perihal kereta itu secara terperinci.